KUALA LUMPUR 11 Julai – “Kita ada perlembagaan, kita ikut perlembagaanlah”.
Begitu reaksi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berhubung desas-desus wujudnya desakan supaya pemilihan UMNO diadakan semula.
Beliau menegaskan, apa-apa keputusan mengenai parti perlu dibuat berlandaskan perlembagaan dan perlembagaan parti itu telah menetapkan supaya pemilihan diadakan setiap tiga tahun sekali.
“Kalau nak buat kita kena ikut perlembagaan, ada syarat-syaratnya. Kena ada beberapa cadangan daripada berapa bahagian.
“Apa kita nak buat kena rujuk perlembagaan. Sebab apa (perlu adakan pemilihan semula). Kita dah ada perlembagaan kita tiga tahun sekali pemilihan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Selasa lalu mengundang pelbagai reaksi daripada kepemimpinan UMNO.
Sementara kebanyakan pemimpin veteran menyambut baik pelantikan itu, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menganggap ia satu langkah ke belakang dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui tidak gembira mendengar berita itu. – UTUSAN ONLINE











