Pemasaran hancur tanpa proses - Utusan Malaysia

Pemasaran hancur tanpa proses

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman selama berpuluh-puluh tahun dalam industri pemasaran­ ba­nyak mengajar saya dan pasukan media sosial tentang selok-belok pemasaran tidak kira sama ada ber­bentuk digital mahupun tradi­sional.

Proses standard atau secara formal dikenali sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah elemen penting yang tidak banyak jenama ambil kisah apabila melibatkan jabatan pemasaran.

Walaupun tidak tercatat pada mana-mana dokumen, hasil penyelidikan ataupun penulisan artikel, bagi saya secara peribadi ia akan mengganggu bukan sahaja strategi pemasaran tetapi juga pelaksanaan strategi tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada bulan lalu, kertas kerja pasukan media sosial saya diterima oleh satu jenama besar di negara ini untuk mengendalikan akaun media sosial mereka. Kalau sebut jenama ini, hampir pasti semua rakyat Malaysia kenal.

Sebelum kerja-kerja media sosial bermula, beberapa siri perjumpaan diadakan sebagai persediaan. Biasanya, pasukan saya akan mengambil masa selama 10 hari untuk membuat persediaan sebelum kerja-kerja media sosial bermula.

Daripada satu perjumpaan kepada perjumpaan lain amat memeritkan. Apa yang kami dapati, setiap aktiviti dan inisiatif yang dibuat di sini semuanya berbentuk sementara khusus kepada satu-satu objektif sahaja.

Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai adhoc. Mereka tidak menitikberatkan langsung unsur-unsur proses yang lebih standard, jelas, mudah difahami, dinamik dan berjangka panjang merangkumi semua perkara.

Apabila tiada proses stan­dard, pelbagai benda perlu diingatkan setiap kali, tidak mempunyai tempat penyimpanan gambar dan dokumen penting yang teratur serta tidak tahu siapa bertanggungjawab tentang sesuatu tugas dan sebagainya.

Hasilnya, mereka sentiasa sibuk setiap masa tercari-cari sesuatu maklumat walaupun melakukan perkara sama setiap hari. Dengan kata lain, ini amat merugikan masa dan akhirnya produktiviti juga terjejas.

Sekiranya mereka kelam kabut, susah untuk pasukan saya menulis status terkini dan me­ngendalikan akaun media sosial mereka setiap hari kerana pencarian bahan-bahan yang diperlukan tidak konsisten.

Pasukan saya berasa sangat pelik. Mereka memberitahu saya, walaupun syarikat kami kecil sahaja tetapi produktiviti setiap hari berjalan begitu baik sekali. Terima kasih kepada proses yang diwujudkan kerana ia begitu teratur, dinamik dan paling penting sangat mudah difahami oleh setiap orang terlibat di dalamnya.

Bagi menyelesaikan masalah kelam kabut pelanggan ini, pa­su­kan saya terpaksa kembali ke kertas dan menyediakan satu pelan mudah. Ini yang kami lakukan;

Senaraikan masalah

Kita menyenaraikan setiap permasalahan utama yang telah dikenal pasti dan kongsi senarai ini kepada pelanggan tadi. Ini membantu menyedarkan mereka betapa teruknya cara bekerja selama ini dan sekiranya berterusan, mereka akan senang jatuh sakit kerana bekerja terlalu kuat tetapi tidak menghasilkan produktiviti dikehendaki.

Penyimpanan setempat

Memandangkan mereka tidak mempunyai tempat penyimpanan bahan-bahan pemasaran seperti gambar, video, senarai laman-laman web yang penting dan sebagainya yang tetap, kita terpaksa menyediakan satu tempat khusus. Di tempat ini, pasukan pihak pelanggan akan membantu memasukkan semua bahan pemasaran yang ada manakala pasukan saya pula akan mengambil mana-mana bahan yang diperlukan untuk dimuat naik di media sosial. Dengan cara ini, proses menjadi lebih sistematik.

Tugas dan tanggungjawab

Keadaan menjadi terlalu kelam-kabut sehingga tidak tahu tugas masing-masing. Rupa-rupanya semua orang melakukan tugas yang sama. Terdapat juga beberapa tugas yang mereka sendiri pun tidak tahu siapa mengendalikannya. Nampaknya situasi ini perlu ditukar. Kita membantu mereka menyenaraikan tugas-tugas yang diperlukan untuk media sosial dan mereka sendiri memasukkan nama-nama pekerja yang sepatutnya bertanggungjawab mengendalikannya.

Dari senario ini, kita dapat belajar satu perkara penting. Walaupun sesuatu jenama itu besar dan terkenal, tidak semestinya strategi pemasaran mereka dan pelaksanaan strategi yang dibuat itu bagus. Mungkin kita yang serba kekurangan dan bersaiz kecil ini jauh lebih bagus daripada mereka.

Sekiranya kita tidak cepat mengalah dan terus menerus melakukan apa yang kita lakukan ini dengan sistematik dan konsisten, mungkin kita akan menang besar satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini