KUALA LUMPUR – Pejabat, surau dan rumah rehat di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Ampang di sini berwajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf dilakukan dan siap sepenuhnya Mei lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan berkata, kos keseluruhan kerja-kerja menaik taraf sejak dua tahun lalu yang dilaksanakan oleh syarikat kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu adalah sebanyak RM900,000.
“Selepas 40 dekad kerja-kerja naik taraf dilakukan bagi menggantikan pejabat dan surau yang telah uzur dan usang serta tidak dapat menampung jumlah pelawat yang semakin bertambah saban tahun.
“Selain itu, rumah rehat pekerja, rumah sampah dan kemudahan tandas serta turapan jalan juga dinaik taraf bagi kemudahan kakitangan dan orang awam yang datang menziarah,” katanya.
Nor Hisham berkata demikian pada Majlis Perasmian Pejabat dan Surau Baharu di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini hari ini.
Ujarnya, kawasan tanah perkuburan itu diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk diselenggarakan pada tahun 1976 dengan keluasan 4 hektar yang menempatkan hampir 15,000 jenazah.
“Kini, baki plot kubur kosong hanya tinggal kira-kira 300 sahaja,” katanya.
Katanya, kawasan tanah perkuburan itu disifatkan sebagai ikonik dan bersejarah kerana telah menempatkan orang-orang kenamaan negara terdiri daripada ulamak, kerabat Sultan Selangor, pegawai tertinggi kerjaan dan seniman seniwati negara dan ramai lagi.
“Antara yang telah dikebumikan di sini ialah Kadi pertama Kuala Lumpur, Allahyarham Sheikh Uthman Abdullah, Raja Muda Selangor (Sultan Selangor Ketiga), Almarhum Yang Mulia Raja Mahmud Ibni Almarhum Sultan Mahmud dan Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” katanya. – UTUSAN ONLINE











