“Sebenarnya, ikut peraturan, tak payah tiap-tiap tahun angkat sumpah.Exco memang ‘one term’ (satu penggal) lima tahun…,” kata Paul Yong Choo Kiong, Exco DAP Perak (suspek kes rogol pembantu rumah Indonesia) semalam, ketika mengulas penangguhan Istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan exco kerajaan negeri Perak.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan istiadat berkenaan ditangguhkan (sepatutnya berlangsung Khamis lepas) ekoran kes rogol yang terpalit pada Paul Yong.
Istiadat pelantikan dan angkat sumpah ini merupakan istiadat tahunan negeri Perak yang diadakan di istana bagi tujuan memperbaharui ikrar Exco kerajaan negeri.
“Tak payah tiap-tiap tahun angkat sumpah…” Ini satu kenyataan biadab yang mempertikaikan Istana Perak!
“Exco memang one term (satu penggal) lima tahun…” Ini juga kenyataan biadab membelakangi kuasa budi bicara Sultan.
Apakah Paul Yong tidak tahu bahawa telah dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Fasal 16 (7):
“Tertakluk kepada Fasal (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) selain daripada Menteri Besar itu hendaklah memegang jawatan selama KEREDAAN Duli Yang Maha Mulia, tetapi seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan itu bolehlah pada mana-mana ketika meletakkan jawatannya.”
Istiadat Angkat Sumpah setiap tahun itulah yang menjadi amalan kelaziman bagi mempraktikkan maksud ‘keredaan Sultan Perak’.
Sebelum angkat sumpah, Menteri Besar akan mempersembahkan kembali kepada Sultan Perak senarai nama untuk diperkenankan sebagai barisan Exco.
Jika diperkenankan Sultan, senarai Exco itulah yang akan memegang jawatan, sehinggalah tahun berikutnya, jika tiada rombakan dalam tempoh itu.
Jika tidak diperkenankan, adakah Paul dengan sombong boleh lagi berkata, Exco pegang jawatan selama lima tahun?
Paul Yong juga jangan lupa, memperbaharui ikrar sumpah itu ertinya menyemak dan memperingatkan kembali, supaya taat setia kepada Sultan.
Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Fasal 47 (1), suspek perogol ini juga pada tahun lepas, dalam istiadat yang sama pernah bersumpah:
”Sesungguhnya saya Paul Yong Choo Kiong bersumpah akan taat setia kepada Sultan….”
Sekarang suspek kes rogol ini mahu pertikai pula istiadat yang dititahkan Sultan?
Wan Muhammad Azri
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.











