Pasangan kekasih edar dadah ditahan - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih edar dadah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Sepasang kekasih yang mendalangi sindiket pengedaran dadah tumpas selepas kedua-duanya ditahan ketika polis menyerbu sebuah rumah di Permatang Sintok, Kepala Batas di sini pada Rabu lalu.

Suspek lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang di rumah yang didiami mereka berdua tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya merampas sejumlah dadah bernilai RM212,580 dalam serbuan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dadah yang dirampas adalah 1,351.2 gram (g) disyaki syabu dan 660 biji pil disyaki yaba yang dipercayai bagi diedarkan di kawasan SPU.

“Selain itu, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang disyaki dibeli dengan hasil kegitan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas di sini sebentar tadi.

Noorzainy berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak kira-kira enam bulan lalu iaitu selepas suspek lelaki dibebaskan daripada penjara.

“Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek yang positif dadah itu masing-masing mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, pihaknya turut melumpuhkan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki di tempat letak kereta Flat Taman Desa Sena, Kepala Batas di sini pada Khamis lalu.

“Suspek berusia 36 tahun yang aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 82 gram bernilai kira-kira RM12,300.

“Suspek yang berkahwin itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kes dadah dan turut positif ujian saringan air kencing,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini