PAKP kecewa kenyataan Chef Wan - Utusan Malaysia

PAKP kecewa kenyataan Chef Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 10 Julai – Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) kecewa dengan kenyataan chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang menyifatkan peneroka Felda bukan sahaja malas bekerja untuk memajukan tanah Felda, sebaliknya hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan kerajaan.

Presiden PAKP, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, sebagai seorang anak Felda, kenyataan sedemikian tidak sewajarnya dibuat oleh chef selebriti berkenaan.

“PAKP yang mana ahli kami turut melibatkan anak masyarakat Felda dari negeri ini mempersoalkan layakkah Chef Wan diangkat sebagai Ikon Felda pada Hari Peneroka 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah itu peranan sebenar yang sepatutnya dimainkan oleh individu yang diangkat sebagai seorang ikon? Seorang yang bergelar ikon seharusnya memberikan contoh yang baik supaya dapat diikuti oleh masyarakat terutama dalam kalangan belia Felda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chef Wan menerusi status dalam akaun Instagram miliknya kelmarin menyifatkan golongan peneroka Felda bukan sahaja malas bekerja untuk memajukan tanah Felda, sebaliknya hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan kerajaan.

Sambil menyamakan golongan berkenaan seperti kucing, Chef Wan berkata, golongan itu juga enggan untuk membantu diri sendiri ke arah yang lebih baik.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, jika berasakan dirinya tidak layak, Chef Wan dinasihatkan supaya memulangkan kembali anugerah Ikon Felda berkenaan.

“Ini kerana masih ramai anak-anak Felda yang telah mencipta kejayaan sehingga bergaji dan berjawatan besar yang lebih layak diangkat sebagai Ikon Felda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini