Nusantara perlukan seorang pemimpin ulung - Utusan Malaysia

Nusantara perlukan seorang pemimpin ulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 5 Julai 2019 lalu, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir telah mempelawa secara terbuka supaya semua parti dan pemimpin Melayu di luar sana menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengukuhkan kuasa politik dan ukhwah sesama pihak tersebut dalam menghadapi cabaran semasa.

Ia satu seruan logik memandangkan BERSATU merupakan salah satu parti komponen Pakatan Harapan yang sedang mentadbir negara.

Jika hampir semua orang Cina boleh menyokong DAP, kenapa tidak Melayu? Kenapa mahu berterusan berada di pihak pembangkang yang tiada tokoh ‘pemimpin ulung’ bagi menyatukan mereka?

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang mereka ada hanyalah bossku yang terpalit berpuluh kes korupsi dan salah guna kuasa yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Ya negara ini mempunyai Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam yang perlu dihormati semua pihak namun yang menggerakkan aspirasi penyatuan serta kemajuan bangsa dan negara adalah pemimpin politik atau pejuang rakyat yang naik dari bawah oleh suara majoriti.

Sesungguhnya Malaysia sangat tandus dengan jenis pemimpin marhaen seperti itu.

Namun Tuhan masih sayangkan Rumpun Melayu Nusantara. Dalam sejarah rantau ini, Rumpun Melayu pernah dianugerahkan beberapa pemimpin ulung yang bukan saja mampu menyatukan komuniti-komuniti Nusantara yang berbeza dialek, budaya, dan keturunan, juga dia mampu melebarkan pengaruh empayarnya hingga dapat menghalau para penceroboh dari luar serta dapat mempertahankan sfera dunia Melayu dari ancaman penjajahan.

Itu zaman sebelum kehadiran penjajah dari Barat seperti Portugis. Ramai orang muda keturunan pribumi di negara Malaysia dan Indonesia telah lupa tentang kehebatan nenek moyang mereka dahulu.

Kita dipecahkan oleh ideologi, istilah bahasa, serta pengaruh hiburan dari dunia Barat. Kita di Malaysia dilenakan dengan retorik politik, agama, serta semangat ketaksuban bangsa yang membuatkan kita percaya bahawa kita masih Tuan di negara bertuah ini setelah merdeka.

Lebih parah ada di antara kita masih megah dengan semangat kenegerian, kepartian, status sosial, pekerjaan mahupun sentimen sekolah elit. Penyatuan Melayu di negara ini atau penyatuan Rumpun Nusantara di peringkat Asia Tenggara tinggal hanya impian sejak sekian lama.

Tiada usaha konkrit untuk kita mencontohi penyatuan kaum Cina walau dari mana mereka berasal dan di mana mereka berada dalam dunia hari ini.

Buku teks sejarah negara kita mencatatkan bahawa empayar pertama nenek moyang Rumpun Melayu adalah Srivijaya. Ia merupakan empayar maritim terbesar di dunia dari abad ke-8 hingga ke penghujung abad ke-12.

Silibus pengajiian Malaysia tidak menekankan bahawa tokoh yang bertanggungjawab menyatukan sebahagian besar Nusantara (Dunia Melayu) di bawah Srivijaya dahulu adalah Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Ya individu itu bukan seorang Muslim.

Namun pada zaman pra Islam di Nusantara dahulu, menganuti agama Hindu atau Buddha sudah merupakan penanda aras tamadun jauh lebih baik dari mereka yang hidup liar tanpa mengikuti aturan apa-apa agama.

Melayu tidak wajar alergik dengan sejarah pra Islam nenek moyang mereka. Dapunta Hyang Sri Jayanasa bukan milik Indonesia atau Malaysia kerana kedua-dua negara tersebut belum wujud pada zaman itu.

Begitu juga dengan empayar Nusantara seterusnya iaitu Majapahit pada abad ke-13. Tokoh yang bertanggungjawab menyatukan Rumpun Melayu ketika itu adalah Mahapatih (Perdana Menteri) Gadjah Mada.

Armada Majapahit yang hebat serta tentera Majapahit yang ramai telah berjaya menangkis pencerobohan Kerajaan Siam Sukhothai yang ketika itu telah berjaya menawan Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Temasik (Singapura) pada tahun 1357.

Kini masa depan Melayu-Muslim-Bumiputera di Malaysia terletak di tangan generasi muda.

Adakah kalian mahu mewarisi perseteruan orang-orang terdahulu hanya kerana perbezaan ideologi politik, tafsiran agama dan dendam peribadi? Atau kalian mahu bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa maju yang bersatu, berintegriti, rajin, berani kerana benar, berpengaruh dalam ekonomi dan teknologi terkini yang mampu dikagumi malah dicontohi oleh bangsa-bangsa lain di dunia? Ya tiada pemimpin manusia biasa yang sempurna di negara kita.

Namun tidakkah kalian nampak sosok Tun Dr. Mahathir yang terpahat dalam sejarah dunia sebagai salah seorang pemimpin Dunia Islam, pemimpin Asia malah seorang pemimpin dari negara-negara membangun yang cukup hebat di mata warga asing? Jangankan musuh politiknya di dalam negara, negarawan kita tersebut tidak gentar mengecam keangkuhan puak Yahudi Zionist secara terbuka sejak menulis buku Dilema Melayu lagi.

Beliau adalah antara empat orang tokoh dunia revolusioner pemegang pingat Bintang Soekarno di negara jiran. Ayuh… Jom… Kita semua Bersatu bersamanya dari sekarang!

Dr. Muhammad Faiz Na’aman

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini