Nilai semula sistem Persekutuan - Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

Nilai semula sistem Persekutuan – Tuanku Muhriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir meminta matlamat dalam sistem negara secara Persekutuan di negara ini yang dilaksanakan sejak kira-kira 60 tahun lalu dinilai semula bersama langkah-langkah yang akan diambil dalam bergerak ke hadapan.

Baginda menegaskan, walaupun setia kepada Persekutuan, ia tidak boleh berakhir dengan parochialisme (tumpuan atau pandangan yang sempit mengenai) Persekutuan (Federal parochialism).

Titah baginda, negara ini harus berpegang kepada prinsip subsidiari yang mana kuasa peringkat tempatan membenarkan kerajaan negeri bertindak balas terhadap kebimbangan tempatan dengan lebih berkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, kita perlu meneroka sama ada terdapat keseimbangan yang sepatutnya di antara hak negeri masing-masing untuk mencapai matlamat mereka sendiri dan kepentingan nasional dan ini berkaitan dengan penentuan siapa atau badan mana sebagai pihak berkuasa yang meluluskan.

“Apa yang beta harap dapat dicapai oleh persidangan hari ini ialah menilai bagaimana objektif federalisme telah dilaksanakan dalam 60 tahun yang lalu dan langkah-langkah yang akan diambil dalam bergerak ke hadapan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Ucaputama Diraja semasa merasmikan persidangan Federalisme di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan dan Negeri di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat Nilai di sini.

Berangkat mengiringi baginda ke persidangan itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang juga Canselor USIM.

Hadir sama, Pro-Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Musa Ahmad.

Tuanku Muhriz yang merupakan Penaung Diraja persidangan itu bertitah, persidangan itu harus meneroka subjek desentralisasi fiskal serta meningkatkan peluang pendapatan langsung untuk negeri-negeri yang membolehkan ia untuk melaksanakan projek mereka.

Persidangan selama dua hari itu tertumpu kepada federalisme bagi menggalakkan pemahaman dan wacana yang lebih meluas untuk membolehkan generasi Malaysia kini menghargai visi para Bapa Pengasas negara serta kaitan federalisme dalam keadaan dan suasana masa kini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini