Nilai jualan perdagangan borong, runcit naik 6.8 peratus - Utusan Malaysia

Nilai jualan perdagangan borong, runcit naik 6.8 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Julai – Jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RM110.8 bilion pada Mei 2019 didorong oleh kempen promosi bersempena perayaan Aidilfitri, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan pada Mei disumbangkan terutamanya daripada jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang berkembang masing-masing 9.1 peratus dan 7.8 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata, berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan borong dan runcit berkembang 5.1 peratus berbanding April 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua sub-sektor mengalami pertumbuhan positif pada Mei 2019 selepas merekodkan pertumbuhan negatif pada April 2019.

“Pengembangan itu didorong oleh peningkatan harga jualan kenderaan bermotor yang meningkat 8.8 peratus bulan ke bulan berikutan kempen promosi perayaan Aidilfitri,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, ini diikuti penjualan runcit yang bertambah 5.3 peratus bulan ke bulan dan perdagangan borong yang mencatat pertumbuhan 4.2 peratus berbanding April 2019, katanya.

Dari segi indeks jumlah, Mohd. Uzir berkata, perdagangan borong dan runcit mencatat kenaikan 6.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2019.

“Pengukuhan itu dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang berkembang 9.1 peratus tahun ke tahun dan perdagangan runcit yang bertambah 8.4 peratus tahun ke tahun,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini