Nak kahwin lagi? Kahwinlah... - Utusan Malaysia

Nak kahwin lagi? Kahwinlah…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Para isteri yang membaca tulisan saya minggu ini mungkin melenting! Takkanlah nak menyerah begitu sahaja jika suami menggatal ingin kahwin lagi. Mestilah isteri menentang dulu habis-habisan sebelum menyerah kepada keputusan suami. Harap bertenang puan-puan, baca dulu sampai habis tulisan saya ini.

Saya melalui pengalaman tersebut pada Ramadan baru-baru ini. Bukan saya yang nak kahwin lagi. Saya setia kepada yang satu. Tetapi saya terlibat di dalam usaha mendamaikan sepasang suami isteri yang berperang kerana suaminya menyatakan hasrat ingin berkahwin lagi satu.

Isteri manalah yang sanggup berkongsi suami dengan wanita lain. Di kala memulakan perjalanan rumahtangga berbelas tahun lalu di saat suami tidak ada apa-apa, isteri berkorban segala-galanya menempuh panas dan hujan, ribut dan taufan, ketawa dan menangis bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apabila suami sudah ada segalanya kini suami beralih perhatian kepada wanita lain. Rasa kasih sayang dan pengorbanan tiada nilai di mata suami yang tegas ingin berkahwin lagi kerana ‘mampu’, katanya.

Anak-anak remaja terkesan melihat ibu bapa bertengkar dan masa depan dilihat gelap dengan prospek adanya mak tiri dan ayah beralih kasih. Benarlah kata orang, suami diuji bila tiada apa-apa tetapi isteri diuji bila suami ada segala-galanya.

Poligami memang dibenarkan dalam Islam bagi suami yang berkemampuan. Ramai suami anggap kemampuan ini dilihat hanya dari sudut kewangan dan kekuatan batin semata-mata.

Layanan adil

Namun, mereka gagal melihat kemampuan dari segi laya­nan yang adil dan paling pen­ting sekali ialah kemampuan dari segi pengetahuan agama untuk membimbing isteri dan anak-anak. yang baik. Solat jemaah bersama-sama, mengaji, ta’lim, pergi ke masjid, membuat amal kebajikan dan lain-lain.

Tetapi jika suami bangkit pagi untuk solat Subuh pun perlu dikejut bagai anak-anak kecil, bagaimana dia nak membim­bing keluarga?

Di tengah-tengah kemelut keluarga ini akhirnya pecah cerita suami sebenarnya telah bernikah di sempadan. Hancur luluh hati isteri dan anak-anak. Rupa-rupanya selama ini dia sudah bernikah tetapi berlakon ibarat Encik Ramli dalam Madu Tiga.

Walaupun saya seorang lelaki, saya memahami hati isteri­nya yang remuk. Semangat untuk mempertahankan rumahtangga hilang sekelip mata.

Pesanan saya kepada para isteri, jika suami nyatakan hasrat untuk berkahwin lagi selalunya dia sudah ada calon dan memang nekad untuk berpoligami walau apapun halangannya. Jika isteri menghalang sekalipun, ia tidak berkesan. Cakaplah apa sahaja, jika hati suami memang sudah beralih, dia tidak akan berganjak.

Buat perjanjian harta

Jadi, ikut sahaja peruntukan undang-undang yang ada. Usah dihalang hasratnya tetapi mintalah dia menandatangani Perjanjian Penyelesaian Harta Sepencarian.

Lindungi hak anda dan anak-anak. Mintalah rumah tempat anda dan anak-anak boleh berlindung. Minta dia tanggung semua kos rumah seperti bil air, elektrik, wifi, bayaran ansuran bulanan rumah (jika masih ada pinjaman) dan segala cukai berkaitannya.

Minta juga nafkah bulanan anak-anak dan diri sendiri mengikut jumlah yang dipersetujui. Jangan lupa juga minta keretanya yang biasa anda gunakan bagi urusan harian menguruskan anak-anak dan urusan keluarga.

Nak lagi? Minta suami supaya buat absolute assignment polisi takafulnya supaya anda dan anak-anak menjadi benefisiari seperti kaedah yang saya tulis dalam artikel saya sebelum ini.

Tak cukup? Nak lagi? Selain harta-harta yang dimasukkan di dalam perjanjian ini, minta juga dia hibahkan harta-harta lain seperti akaun Tabung Haji, saham syarikat (jika dia ahli perniagaan) dan lain-lain harta yang difikirkan sesuai.

Hibah kepada isteri tidak boleh ditarik balik mengikut hukum syarak dan mintalah supaya hibah itu dibuat secara mutlak iaitu jika anda mati, hak ke atas harta berpindah kepada waris-waris mengikut hukum faraid iaitu anak-anak anda.

Ini tindakan yang mesti anda ambil. Biar dia nikah lagi tetapi dapatkan hak anda dan anak-anak. Jika ini gagal dibuat sebelum dia bernikah, proses untuk menuntut selepas itu akan menjadi lebih mencabar dan susah untuk anda.

Ambil kesempatan ini sekarang sebelum dia bernikah lagi. Di dalam keadaan mabuk cinta, dia akan bersetuju dengan apa sahaja permintaan anda kerana yang penting kepadanya ketika ini ialah mencapai hasrat mendapat ‘pucuk muda idaman’.

Biarlah dia bernikah di Malaysia melalui proses yang ditetapkan undang-undang. Biarlah proses itu berjalan dengan lancar supaya pernikahannya berdaftar di Malaysia.

Jika anda halang dan dia lari bernikah di sempadan, keadaan akan jadi lebih sukar dan me­nyakitkan untuk semua pihak terutama kepada anda. Jadi ja­ngan sekat hasratnya tetapi lindungi hak anda dan anak-anak. Benda kita boleh dapat, buat apa nak serahkan kepada isteri baharu?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini