KOTA KINABALU 31 Julai – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, 51, akan meneruskan dasar universiti itu dengan berbekalkan pengalaman sedia ada.
Taufiq Yap berkata beliau juga akan membawa idea-idea baharu, bagi menambah baik dasar yang telah dilaksanakan demi kemajuan UMS.
Katanya perancangan awal beliau ialah meningkatkan ‘keterlihatan’ UMS untuk bukan hanya terkenal di Sabah, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Kita berbangga UMS telah bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), namun tumpuan saya terarah kepada meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan IR4.0,” katanya di majlis serah terima tugas daripada bekas Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkuatkuasa semalam, di sini, hari ini.
Majlis disaksikan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K.Y. Mustafa.
Berasal dari Kota Kinabalu Taufiq Yap berkata beliau bersama pasukan UMS akan kerjasama, khususnya dengan pihak industri di Sabah dan antarabangsa agar dapat memenuhi kehendak pasaran.
Sementara itu Dr Yusof dalam sidang medianya melahirkan penghargaan kepada Dr D Kamarudin atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UMS.
Beliau berkata peralihan tugas merupakan proses biasa, agar pendekatan baharu akan dapat menghasilkan mahasiswa lebih berkualiti.
“Selain bekerjasama dalam IR4.0, kita juga mahu UMS menjadi pusat penyelidikan terunggul di Sabah kerana negeri kita kaya dengan flora dan fauna,” katanya. – BERNAMA











