Mohamad Nik tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya - Utusan Malaysia

Mohamad Nik tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Julai – Biarpun gagal mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjuang bermati-matian sehingga ke saat akhir ketika menentang Kedah, malam tadi.

Beliau berkata keputusan itu tidak akan sesekali melemahkan semangat skuad Penyu untuk mengharungi baki dua perlawanan terakhir Liga Super menentang Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT), bagi memastikan TFC berada di kedudukan lebih baik dalam carta kedudukan pasukan.

“Memang kita mahu mengekalkan momentum dua kemenangan berturut-turut sebelum ini, tetapi rezeki tidak menyebelahi kita pada perlawanan ini (malam tadi). Pada babak kedua kita mendapat peluang terbaik menjaringkan dua atau tiga gol, namun berjaya dikekang pertahanan Kedah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keputusan perlawanan ini kerana ramai tonggak utama kita mengalami kecederaan dan terpaksa diganti dengan pemain muda,” katanya selepas perlawanan menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, yang berkesudahan seri 2-2.

Gol TFC dijaringkan pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-32, dan Kipre Tchetche dari Ivory Coast (minit ke-90), manakala Kedah memperoleh gol menerusi Shakir Hamzah seawal minit ketiga dan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-45.

Selepas mengharungi 20 perlawanan, TFC menghuni tangga keenam liga setelah mengutip 28 mata, manakala Kedah di tempat keempat dengan 31 mata.

Sementara itu penolong jurulatih Kedah, Victor Andrag berkata beliau sukar menerima keputusan tersebut, namun terpaksa akur dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain TFC.

Selain itu, beliau berkata ketiadaan beberapa tonggak utama seperti penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim dan penyerang import dari Argentina Jonathan Bouman yang berdepan masalah kecederaan, turut memberi kesan kepada corak permainan Kedah.

“Selepas Azmeer (Azmeer Yusof) dilayangkan kad merah pada minit ke-68, kita terpaksa ubah permainan kerana bahagian pertahanan agak pincang.

“Pemain kita sudah lakukan sebaik mungkin untuk bertahan, tetapi saya harus beri pujian kepada pemain TFC atas semangat juang mereka sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir permainan,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini