Menyatakan sokongan kepada PM - Utusan Malaysia

Menyatakan sokongan kepada PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perdana Menteri Malaysia hari ini luar biasa.Tidak seperti kebiasaan pada masa lalu termasuk PM ke 4.(Sosok orang yang sama).

Ia luar biasa kerana PM ini direkod dunia PM paling tua usianya di dunia.

Ia juga luar biasa kerana beliau menjadi PM di negara ini buat kali kedua dalam jarak 15 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tetapi bagi kami pejuang anti rasuah, paling luar biasa ialah kerana PM ini mencipta sejarah menumbangkan sebuah kerajaan paling lama memerintah di dunia atas faktor utama memerangi kepimpinan yang rasuah dan kleptokrat.

PM ini diberi mandat luar biasa rakyat kerana gagasannya bersama gabungan pembangkang pada ketika itu yang jelas melawan satu pentadbiran yang telah melakukan salah guna kuasa dan rasuah di dalam skala yang paling besar pernah disaksikan di negara ini sejak merdeka dan berskala dunia.

Makanya sebarang sokongan kepada PM ini mesti memahami latar belakang gagasan yang di bawa beliau dan gabungan pembangkang dengan dokongan NGO-NGO dan rakyat jelata dan jutaan pengundi pada ketika itu.

Saya secara peribadi bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam sebuah parti anti rasuah (dalam peringkat penaja) telah menyatakan sokongan kepada PM ini beberapa bulan lalu.Sokongan kami atas asas perjuangan dan komitmen beliau melawan rasuah yang kekal selari dengan gagasan besar yang di bawa beliau semasa PRU-14 lalu.

Sehari dua ini tiba-tiba timbul rentetan sokongan kepada PM ini. Sebarang sokongan kepada seorang PM untuk memperteguh sebuah kerajaan dan pentadbirannya memang dialu-alukan.

Tetapi sokongan mestilah jujur dan atas paksi yang sama yakni dengan memahami dan menghayati gagasan besar yang di bawa oleh PM dan gabungan parti-parti kerajaannya.Dan bagi kami asas paling utama gagasan besar kerajaan yang diketuai PM ini ialah komitmen melakukan perubahan dari sudut rasuah dan urus tadbir baik negara.

Sokongan tanpa asas dan gagasan besar ini tidak akan membawa apa-apa makna positif kepada perjalanan negara ini dalam melakukan perubahan yang mesti dilakukan tanpa sebarang kompromi sekiranya kita benar-benar mahu perubahan itu berlaku di negara ini.

Lebih tidak bermakna malah negatif sifatnya sekiranya sokongan dilakukan oleh pemimpin yang terdesak yang diselubungi dakwaan serius yang belum dibereskan dan menggunakan pernyataan sokongan atas sebab-sebab percaturan politik peribadinya dan sama sekali tidak berasaskan kepada gagasan besar perjuangan negara yang diketuai PM.

Kami tegaskan sekali lagi, pentadbiran baru yang luar biasa sifatnya ini juga mempunyai tanggungjawab dan cabaran yang luar biasa. Pemimpin mesti menghayati hakikat ini dan serius serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang besar ini. Hentikanlah percaturan politik peribadi. Dan letakkanlah kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi. Masalah peribadi jangan di bawa menjadi masalah negara.

Buat kesekian kalinya, buatlah sesuatu demi negara.Bukan demi diri sendiri.

* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini