JAKARTA 10 Julai – Seorang menteri Indonesia yang dikenali kerana tindakannya ‘menenggelamkan’ kapal asing mencabar Mark Zuckerberg berlumba dalam sukan mendayung selepas pengasas Facebook itu memuat naik gambarnya mendayung di Tasik Tahoe, Amerika Syarikat (AS).
Lapor Bangkok Post, Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim, Susi Pudjiastuti mencabar Zuckerberg menerusi ruangan komen dalam laman Instagram milik pengasas Facebook berkenaan.

Susi berkata, beliau berbesar hati untuk mencabar Zuckerberg dalam perlumbaan mendayung dan memenangi 10 peratus daripada saham Facebook.
Tambah Susi, beliau akan menjual saham itu dan menggunakan wang terbabit untuk membeli ‘beberapa kapal peronda besar’ bagi melindungi perairan negara ini daripada aktiviti perikanan haram.
Beliau juga akan membeli ribuan kapal baharu untuk nelayan supaya mereka boleh menangkap lebih banyak ikan.
Komen tersebut menerima 5,000 reaksi dalam media sosial terbabit dan disukai lebih 55,000 pengguna Instagram.
Zuckerberg bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung cabaran Susi meskipun beberapa pengguna internet menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook menyahut cabaran tersebut.
Facebook juga tidak memberi sebarang komen kepada Bloomberg hari ini. – AGENSI











