GOLONGAN belia perlu menjadi cerminan terhadap usaha memperkasa kepimpinan sesebuah negara dalam mengekalkan kekuatan pada masa hadapan dan digarap menjadi warga kelas pertama yang matang, patriotik dan berupaya menggerakkan peranannya dengan lebih efisien.
Dalam mendepani dunia yang penuh cabaran ini, belia yang terdiri dari peringkat usia 40 tahun ke bawah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu agar dapat melahirkan kelompok cerdik pandai yang mampu menongkah arus perubahan dengan kepimpinan kerajaan hari ini. Peranan itu digembleng bersama belia yang masih belajar di universiti atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
Dalam konteks ini, pendidikan mendukung objektif untuk pembangunan potensi diri setiap belia perlu diperkasakan melalui aktiviti persatuan dan kokurikulum. Justeru, peranan universiti atau NGO harus dipelbagaikan supaya matlamat tersebut tercapai. Bidang dan tanggungjawab itu meliputi usaha ke arah mewujudkan keadaan yang terbaik untuk pembelajaran.
Kerajaan perlu menanam minat belajar dalam kalangan belia dan mahasiswa untuk meningkatkan kesedaran tentang penting mempunyai budaya belajar sepanjang hayat serta memberi pendedahan awal tentang kemahiran teknologi maklumat. Pada masa sama, meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan melalui program pengajian, kelas bimbingan dan kursus kemahiran. Persatuan-persatuan belia di semua peringkat dari daerah hingga kebangsaan perlu menganjurkan program pendidikan, latihan dan motivasi secara lebih sistematik. Persatuan ini juga perlu meningkatkan program outreach.
Belia perlu didedahkan dengan aspek kenegaraan dalam mempertahankan perpaduan, keselamatan dan penerusan usaha pembangunan melalui pengiktirafan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan menghayati Rukun Negara, mempunyai nilai-nilai pegangan yang murni seperti mematuhi undang-undang, menghormati hak asasi manusia, menegakkan keadilan dan mengutamakan kecemerlangan.
Dewasa ini, penglibatan belia dalam mewarnai politik negara semakin ketara, yakni belia yang bersifat menyokong dan mendukung kerajaan ataupun cenderung pembangkang.
Perkembangan ini dapat dilihat dalam dua keadaan. Pertama, keinginan belia dalam politik mahupun berparti lantaran minat dan kefahaman.
Kedua, berlaku dalam keadaan terikut-ikut dan tanpa kefahaman yang jelas. Belia perlu matang dalam menilai suasana dan membuat keputusan, Belia yang kaya dengan idealisme ini perlu belajar daripada orang yang berpengalaman dan mahir dalam selok-belok politik.
Justeru, belia perlu mempunyai kematangan yang tinggi dan mampu berkomunikasi dengan baik serta mempunyai kekuatan luar biasa untuk menjadi pemimpin masa depan dan bangkit serta melonjakkan Malaysia ke arah kecemerlangan misi dan visi selari dengan kehendak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kekuatan luar biasa itu termasuk usaha-usaha pemerkasaan belia yang membantu melonjakkan usaha bersama dengan kepimpinan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad.
Sebagai pemimpin masa depan, salah satu kaedah untuk merealisasikan peranan belia sebagai rakan kepimpinan ialah melakukan inovasi demokrasi iaitu meningkatkan dan meluaskan penglibatan belia dalam struktur dan proses membuat keputusan bersuara dan memberi pendapat serta mencadangkan penyelesaian terhadap pelbagai isu global melibatkan golongan itu. Dengan suara itu, ia dapat membantu belia untuk terus memberikan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam menjana pembangunan belia negara.
PROFESOR EMERITUS TAN SRI DR. LIM KOK WING ialah Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing.











