KUALA LUMPUR – Walaupun mengakui prestasi pasukan negara lain telah meningkat, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tetap mengekalkan sasaran iaitu lima emas sama seperti pencapaian temasya dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
Pengurus pasukan, Datuk Johari Salleh berkata, dengan 10 acara yang dipertandingkan kali ini semakin sengit, ia tidak menghalang skuad memanah untuk menjadi antara penyumbang pingat emas utama kepada kontinjen negara.
“NAAM telah menyenaraikan 16 pemanah (8 lelaki 8 wanita) yang kesemuanya diletakkan di bawah kategori A oleh jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2019 dengan diketuai satu-satunya pemanah kita yang telah layak ke Sukan Olimpik 2020 setakat ini iaitu Khairul Anuar Mohamad.
“Berdasarkan prestasi semasa, NAAM menjangkakan daripada 10 acara yang dipertandingkan, kita berpeluang cerah layak ke final dalam semua acara cuma kita tidak tahu ia emas atau perak sahaja,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan di sini semalam.
Beliau yang menjangkakan saingan sengit akan datang daripada pemanah Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam berkata, pemanah negara akan dipersiapkan lebih mantap menerusi penyertaan di tiga kejohanan antarabangsa menjelang Sukan SEA 2019.
“Tiga kejohanan itu juga menjadi medan untuk pemanah lain selain Khairul untuk layak ke Sukan Olimpik 2020. Jadi secara tidak langsung ia menjadi latihan terbaik untuk mereka mempersiapkan diri ke Sukan SEA,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE











