KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Abdul Rashid Salleh, di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 2.05 pagi itu, Syamshul Hassan Mohd. Maulana, 19, seorang mekanik dari taman perumahan berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Taman Datuk Abdul Rashid Salleh.
“Mangsa dipercayai menukar lorong dari kiri ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Viva yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak dan melanggarnya.
“Sebuah Toyota Vios yang berada di belakang turut melanggar kereta Perodua Viva kerana tidak sempat brek,” katanya.
Menurutnya, penunggang motosikal terbabit terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pihak polis turut mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan. – K! ONLINE











