Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan Myanmar - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 12 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan dua bot nelayan asing bersama empat nelayan warga Myanmar termasuk tekong kerana menceroboh perairan Kerteh dekat sini pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan pantai asing terbabit.

Katanya, berikutan itu, sebuah bot peronda ditugaskan membuat tinjauan ke kawasan tersebut dan mendapati dua buah bot fiber kendalian warga Myanmar yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sedang giat menjalankan aktiviti penangkapan ikan sekitar 5 batu nautika dari Pantai Kerteh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, empat nelayan berusia 20 hingga 25 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 10 pagi semalam sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Penangkapan ini juga akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mereka gagal mempamerkan lesen dan permit kebenaran menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan oleh pihak kami mendapati nilai rampasan dianggarkan RM60,000 termasuk nilai dua buah bot dan juga peralatan menangkap ikan,” katanya di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, Maritim Negeri Terengganu dan Zon Maritim Kemaman akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan undang-undang dipatuhi selain keselamatan pengguna maritim di perairan Malaysia sentiasa terjaga.

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama orang ramai membantu menangani sebarang kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Zon Maritim Kemaman 09-8582825. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini