BALIK PULAU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sejumlah daging sejuk beku yang dibawa dari Australia selepas menahan seorang penumpang yang membawa keluaran pertanian itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini semalam.
Maqis Pulau Pinang berkata, rampasan daripada wanita warga Australia berusia 58 tahun itu melibatkan beberapa jenis daging sejuk beku dan keju yang kesemuanya bernilai RM665.
“Makluman yang diterima mendapati wanita itu membawa masuk daging babi walaupun larangan membawa masuk telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia kerana penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF).
“Penumpang itu didapati membawa karkas dipercayai daging kambing sebanyak 9 kilogram (kg), daging lembu (4.22kg) dan daging babi (2kg) sejuk beku selain keju (4kg),” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan tersebut menambah, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke negara ini dan merosakkan industri penternakan negara.
“Antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta daging babi proses seperti babi salai dan sosej,” katanya.
Kenyataan itu berkata, perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). – K! ONLINE











