KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang bertindak meragut rantai leher seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada 4 Julai lalu
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut dibuka selepas seorang lelaki yang merakamkan kejadian itu tampil membuat laporan polis.
“Dalam kejadian yang berjaya dirakamkan pukul 1 petang itu mendapati, suspek yang menunggang sebuah motosikal bertindak meragut rantai leher seorang wanita yang sedang melintas jalan dari arah pusat beli-belah Sogo menuju ke Kompleks Pertama.
“Bagaimanapun, sehingga kini wanita yang menjadi mangsa ragut berkenaan masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Fahmi, dia menyeru wanita terbabit untuk tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Semalam, satu klip video memaparkan seorang wanita yang sedang melintas jalan diragut seorang penunggang motosikal tular di media sosial.
Klip video berdurasi satu minit itu dirakam secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang ketika itu sedang membuat rakaman video peribadi turut memaparkan detik peragut itu melakukan kegiatan jenayah berkenaan dengan jelas termasuk wajahnya. – K! ONLINE











