KUALA LUMPUR 4 Julai – Golongan profesional luar negara memilih Malaysia untuk perkembangan kerjaya dan kualiti kehidupan yang lebih baik, menurut tinjauan HSBC Expat.
Ketua Perbankan Peruncitan dan Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia, Tara Latini berkata, kualiti hidup yang baik, pendapatan boleh guna yang tinggi, destinasi pengembaraan yang banyak serta kepelbagaian makanan antara faktor yang menarik golongan tersebut datang ke Malaysia.
Menurut beliau, kebanyakan yang datang ke negara ini pernah menetap di negara lain.
“Faktor kewangan turut menyumbang kepada populariti Malaysia. Majoriti yang berpindah mendapati mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna berikutan kos sara hidup yang rendah.
“Selain itu, sebanyak 13 peratus mendapati gaji mereka meningkat dua kali ganda sejak berpindah. Golongan profesional ini optimis bahawa Malaysia memiliki banyak peluang untuk diteroka dan ditawarkan kepada yang baharu tiba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Latini, majoriti yang berpindah juga gembira dengan persekitaran politik dan ekonomi Malaysia yang stabil.
“Mereka berpendapat terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan oleh anak-anak mereka di sini. Secara purata mereka merancang untuk tinggal selama 11 tahun di Malaysia.
“Negara ini dilihat sebagai peluang dan cabaran kepada ekspatriat untuk melonjakkan serta membangunkan karier mereka terutama dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Latini berkata, golongan profesional yang berpengalaman adalah penting kepada ekonomi global dan mereka menjadikan status quo sebagai cabaran dalam menghubungkan pasaran, masyarakat dan perniagaan.
“Mengambil langkah pertama ke luar negara memerlukan keberanian kerana banyak yang perlu dipertimbangkan. Oleh itu, HSBC Premier menyediakan kepakaran bagi membantu ekspatriat seperti HSBC Global View Global Transfers dan Expat Lounges,” ujarnya.











