GENEVA 5 Julai – Kehidupan pelarian di dalam dan sekitar kem al-Hol, Syria berdepan keadaan ‘malapetaka’ besar-besaran.
Perkara itu ditegaskan oleh Jawatankuasa Antarabangsa, Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sambil mendesak negara-negara terlibat agar ‘membawa keluar’ ahli keluarga pemberontak asing yang berada di kem tersebut, pulang ke negara asal dengan segera.
Ketua ICRC Bahagian Operasi Asia Barat, Fabrizio Carboni menyebut tentang kesukaran yang dialami mereka yang masih berada di kem pelarian itu setelah operasi militan Daesh lumpuh sejak Mac di timur laut Syria.
Jelasnya, kira-kira 100,000 penduduk yang masih menetap di kem pelarian itu dan kawasan sekitarnya hidup dalam keadaan tiada arah.
“Kira-kira 100,000 penduduk terpaksa hidup dalam keadaan terancam, kebuluran, dijangkiti penyakit dan trauma selama bertahun-tahun lamanya,” katanya seperti dipetik Arab News.
ICRC merupakan salah sebuah organisasi kemanusiaan yang menyalurkan pelbagai bantuan di dalam kem pelarian yang menempatkan 70,000 penduduk, termasuk 11,000 keluarga kepada ahli kumpulan militan Daesh yang datang dari pelbagai negara lain.
Negara-negara Barat dilihat seperti tidak menunjukkan minat untuk menerima semula kepulangan ahli keluarga anggota kumpulan pengganas Daesh selepas beberapa siri keganasan yang berlaku dalam negara mereka.
Britain bertindak menggugurkan kewarganegaraan penduduknya yang terlibat sebagai anggota militan Daesh sementara Perancis hanya menerima kepulangan kanak-kanak dan menilai berdasarkan kes individu.
“Pihak kami hanya mampu menasihatkan mereka agar menerima kembali warganegara mereka semula,” tambah Carboni.
Carboni memberitahu, dua pertiga penduduk di kem pelarian itu merupakan kanak-kanak yang kebanyakannya berusia bawah 12 tahun.
“Kanak-kanak tidak seharusnya ditinggalkan di kawasan bergolak dan terdedah dengan cuaca panas dan sejuk keterlaluan,” tegasnya.











