KUALA LUMPUR 15 Julai – Syarikat memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) Malaysia dianugerahkan pingat emas menerusi penilaian tanggungjawab sosial korporat (CSR) EcoVadis.
Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, Lynas Malaysia mengutip antara lima peratus teratas yang dinilai oleh EcoVadis berdasarkan prestasi syarikat terhadap persekitaran, tenaga kerja dan hak asasi manusia, etika dan perolehan yang mampan.
Kata beliau, penilaian terhadap operasi Lynas Malaysia itu meningkat daripada pingat perak, yang diperoleh sebelum ini.
“Penilaian itu khusus kepada pasukan Lynas Malaysia yang telah memberi tumpuan dalam meningkatkan kelestarian operasi setiap hari.
“Lynas telah pun diiktiraf sebagai syarikat pembekal utama nadir bumi yang mampan dan pingat emas ini menambahkan lagi keyakinan kami kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lynas mengambil bahagian dalam penilaian EcoVadis menerusi program Bersama Ke Arah Kelestarian, iaitu inisiatif kimia dalam meningkatkan rangkaian bekalan.
Kaedah yang digunakan EcoVadis berdasarkan piawanan CSR antarabangsa termasuk Laporan Inisiatif Global, Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ISO 26000. – UTUSAN ONLINE











