LONDON – Bimbang Jurgen Klopp meninggalkan Liverpool, kelab tersebut telah memperbaharui kontrak bersama jurulatih dari Jerman itu, lapor media tempatan, The Sun.
Difahamkan Klopp menerima pendapatan 7 juta pound (RM36 juta) setahun dan Kumpulan Sukan Fenway bersetuju untuk menaikkan gajinya kepada 10 juta pound (RM51 juta) selepas membantu The Reds menjulang Liga Juara-Juara musim lalu.
Pemilik Liverpool berharap Klopp menandatangani kontrak perjanjian enam tahun yang bernilai 60 juta pound (RM310 juta) sekali gus menghalang dia dipancing daripada mana-mana kelab besar di Eropah.
Klopp amat menitik berat tahap kesihatannya berbanding tawaran lumayan dan sebab itu dia memerlukan masa untuk membuat keputusan.
Pada musim panas 2016, Klopp dan barisan kejurulatihannya menandatangani kontrak lanjutan enam tahun untuk kekal di Liverpool hingga 2022 dan tiada cakap-cakap dia akan meninggalkan Anfield sebelum kontraknya tamat. – AGENSI











