ALOR SETAR 10 Julai – Seramai lima orang murid sekolah rendah termasuk seorang perempuan di negeri ini mencipta sejarah apabila terpilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak MILO Champions Cup di Barcelona, Sepanyol.
Kelima-lima mereka, Adam Muqhriz Mohd. Izham, 12; Aqil Danish Putra Rozaidi, 12; Amriel Nu’man Kamarul Azman, 12; Muhammad Imtiyaz Syafi Ghazali, 12, dan Nur Alya Marissa Al Fatah, 11, antara lapan pemain yang akan terbang ke negara itu pada 28 Julai ini.
Adam Muqhriz dan Aqil Danish yang merupakan rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar teruja apabila nama mereka diumumkan sebagai pemain yang akan membawa nama Malaysia mengharungi kejohanan membabitkan 13 negara itu.
“Kami amat seronok kerana tidak sangka dapat ke Barcelona untuk bermain bola, malah tidak pernah terfikir pun selama ini apatah lagi mewakili Malaysia.
“Saya dan Adam bersama-sama rakan sepasukan akan melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh demi nama baik Malaysia dan keluarga kami,” kata Aqil Danish ketika ditemui selepas majlis pengumuman itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Perancangan Acara MILO Malaysia, Noor Misbah Md. Nasirudin Kamal dan Guru Besar SK Iskandar, Zahir Mat.
Selain Malaysia, antara pasukan yang menyertai kejohanan itu termasuklah Indonesia, Thailand, Chile, Jamaica, Colombia, Vietnam, Sri Lanka, Trinidad & Tobago dan pasukan-pasukan dari negara Afrika.
Sementara itu, Muhammad Imtiyaz yang bersekolah di SK Haji Ismail memasang impian untuk bertemu dengan idolanya iaitu penjaga gol kelab Barcelona, Marc-Andre ter Stegen di sana nanti.
“Saya juga berhasrat untuk membaiki mutu permainan menjelang kejohanan itu kerana tidak mahu dibolosi dengan gol-gol yang mudah,” katanya yang mula bermain bola sepak seawal usia empat tahun.
Bapa salah seorang murid, Mohd. Izham Abd. Wahab, 42, pula berharap, kejohanan itu akan menjadi permulaan kepada anaknya, Adam Muqhriz bergelar pemain profesional suatu hari nanti.
Dalam pada itu, Noor Misbah berkata, MILO komited untuk memupuk gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat di bawah kempen MILO Aktif Negaraku dengan menyatukan kesemua program sukan akar umbi MILO seperti MILO Hidup Bola, Activ Jam dan Champions Clinic.
“Champions Cup merupakan kesinambungan usaha MILO untuk menginspirasi lebih ramai lagi rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak untuk kekal aktif,” katanya. -UTUSAN ONLINE











