SERI MANJUNG – Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata berharga dengan Felda United apabila hanya sekadar seri 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan yang kini berada di tangga tiga terbawah liga semakin terdesak untuk mencari mata memandangkan perlawanan liga sudah hampir ke penamatnya.
Bermula babak pertama, tuan rumah terlebih dahulu memulakan serangan namun kekentalan barisan pertahanan Felda United berjaya mematahkannya.
Pasukan pelawat juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan jaringan namun dua percubaan pemain tengahnya, Jocinei Schad pada minit ke-16 dan minit ke-27 berjaya dinafikan penjaga gol PKNP FC, Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah.
Anak-anak buah Abu Bakar Fadzim berpeluang untuk berada di depan namun percubaan pemain tengahnya, Mohamad Hafiz Kamal dari luar kotak penalti sedikit tersasar pada minit ke-43.
Jaringan yang dicari-cari Felda United akhirnya menjelma pada minit ke-52 menerusi pemain tengahnya, S. Chanturu yang merembat kencang sebelum terbias mengenai kaki pertahanan PKNP FC, Amani Santos Aguinaldo dan masuk ke gawang.
Tersentak dengan jaringan tersebut, PKNP FC memperkemaskan corak permainannya dan pemain penyerangnya, Yashir Armando Pinto tidak melepaskan peluang terhidang di hadapan gol dengan merembat bola untuk jaringan penyamaan pada minit ke-80.
Tamat perlawanan, keputusan akhir kekal untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1. – K! ONLINE











