KUALA LUMPUR – Dua warga Nigeria dan seorang wanita tempatan yang menjadi dalang sindiket penipuan Parcel Scam ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Cheras dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah malam susulan aduan seorang wanita yang kerugian sebanyak RM1,550 pada Isnin lalu.
“Mangsa yang berusia 22 tahun dan bekerja sebagai jururawat berkenalan dengan suspek yang menyamar sebagai warga United Kingdom dengan mendakwa dirinya seorang doktor dua minggu lalu melalui laman sosial Facebook,” katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut Rajab Ahad, mangsa berkongsi maklumat peribadi kepada suspek dan kemudian berpura-pura menghantar hadiah sebagai tanda persahabatan kepada mangsa.
“Mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya dari syarikat perkhidmatan penghantaran barangan yang dikirim atas nama mangsa.
“Suspek kemudian meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang sebagai kos penghantaran dan berbuat demikian tanpa berasa curiga,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rajab Ahad memberitahu, mangsa yang berasa curiga setelah tidak menerima apa-apa barang dan mendapati dirinya telah ditipu suspek.
“Polis berjaya merampas telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), sebuah komputer riba dan sekeping sim kad,” ujarnya.
Tambah Rajab, kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE.











