Lelaki dicekup selepas kurang dua jam menyamun - Utusan Malaysia

Lelaki dicekup selepas kurang dua jam menyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Polis berjaya mencekup seorang lelaki kurang dua jam selepas dia menyamun dan mencederakan seorang guru wanita di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Jalan Panglima Awang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, suspek dipercayai telah menyerang mangsa mengguna sebilah pisau ketika wanita berusia 30 tahun terbabit sedang menyusun barang di dalam bonet keretanya seorang diri. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki itu kemudian merampas beg tangan wanita berkenaan sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, seorang wanita berusia 34 tahun yang menyaksikan kejadian tersebut cuba mengejar lelaki terbabit, namun gagal.

“Saksi bagaimanapun berjaya mengecam nombor pendaftaran kenderaan tersebut. Kita telah membuat semakan pemilik dan berjaya menahan suspek berusia 25 tahun itu di sebuah rumah di di Batu Berendam pada pukul 5 petang. 

“Pemeriksaan di premis berkenaan turut menemui beg tangan mangsa bersama barangan peribadinya termasuk telefon bimbit, beg duit, dokumen pengenalan diri dan kad bank serta wang tunai kira-kira RM450,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, kejadian itu turut menyebabkan mangsa yang cuba menarik beg tangannya mengalami kecederaan luka di jari kanan dan lengan sebelah kiri dan dibawa ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans. 

Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini