Leftenan Komander Maritim hadapi 10 pertuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Leftenan Komander Maritim hadapi 10 pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berpangkat Leftenan Komander mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM48,700, kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd. Noor Afendi Zauklfli, 38, yang bertugas di Kapal Maritim (KM) Bagahak, Pangkalan Maritim Kemaman membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan daripada nelayan asing, Asary melalui akaun bank, Malayan Banking Berhad sebagai dorongan untuk tidak menahan dan mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam daerah Dungun dan Kuala Terengganu antara 22 April 2017 hingga 29 Mei tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ain Mohd. Rani.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin di samping perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM di Cukai, Kemaman pada setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Jamaludin turut menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini