ALOR SETAR – Kedah mensia-siakan peluang untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan ke-19 Liga Super apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang PKNP di Stadium Darul Aman, malam ini.
Turun tanpa penyerang import, Jonatan Bauman dan Farhan Roslan, tuan rumah dilihat buntu untuk mencipta jaringan dan tidak banyak melakukan serangan berbahaya ke arah gawang PKNP pada separuh masa pertama.
Gol yang dinanti-nantikan Lang Merah hadir pada minit ke-51 apabila Azzamudin Akil bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan PKNP, Amani Santos yang tidak mengeluarkan hantaran lintang Fernando Rodriguez dengan baik.
Kedah sepatutnya boleh melebarkan jurang permainan apabila dihadiahkan sepakan percuma di dalam kotak penalti selepas penjaga gawang PKNP, Khairul Thaqif Shah melakukan kesilapan dengan menangkap bola yang terlebih dahulu ditampan pertahanannya.
Bagaimanapun, sepakan pada jarak dekat oleh pertahanan Lang Merah, Renan Alves pada minit ke-75 itu dapat ditangkap Khairul Thaqif.
PKNP yang cuba bangkit berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-81 selepas Giancarlo Lopes menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Hafiz Kamal.
Pasukan pelawat nyaris menghukum tuan rumah dengan gol kedua, namun jaringan Ramon Da Silva pada masa kecederaan babak kedua dibatalkan kerana dikesan berada pada kedudukan offside.
Kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat yang menyaksikan Kedah kini mengutip 30 mata. – UTUSAN ONLINE











