KUALA LUMPUR 29 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang mewujudkan akta baharu bagi memastikan penceroboh koc wanita menerima hukuman sewajarnya.
Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
“KTMB akan berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menilai keperluan bagi mewujudkan akta bagi mengatasi masalah pencerobohan koc wanita oleh penumpang lelaki.
“Kita mendapat banyak aduan daripada penumpang wanita berhubung perkara tersebut namun masalah ini seringkali berulang ekoran tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pesalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Khair Johari, pihaknya ada menyediakan perkhidmatan polis bantuan di beberapa stesen bagi memantau perbuatan itu dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, jumlah petugas kami tidak mencukupi untuk membuat tinjauan setiap masa terutama apabila melibatkan stesen-stesen kecil.
“Kami faham penumpang wanita tidak selesa berkongsi koc bersama kaum lelaki, sebab itu KTMB mewujudkan koc wanita,” katanya.
Selain itu, Khair Johari turut menasihati orang ramai agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dengan tidak masuk ke koc wanita sesuka hati. – UTUSAN ONLINE











