Koperasi TNB bukan biasa-biasa - Utusan Malaysia

Koperasi TNB bukan biasa-biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR koperasi hari ini bukan seperti dulu yang mana ia talian hayat untuk kakitangan Kerajaan mahupun swasta menumpang ‘kasih’ untuk meminta bantuan kewangan.

Suatu ketika pinjaman koperatif amat popular di mulut golongan pekerja yang ingin mendirikan rumah tangga mahupun membeli motosikal.

Kini koperasi bukan entiti biasa-biasa kerana pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sendiri menyasarkan perolehan koperasi mampu mencecah RM50 bilion menjelang 2020.

Memuatkan artikel berkaitan…

Koperasi bukan entiti biasa-biasa. Ia telah wujud sejak berpuluh tahun dahulu di negara kita. Mengikut sejarah gerakan koperasi dunia, ia bermula sejak tahun 1799 di England atas prinsip persaudaraan dan tolong-menolong sesama penduduk setempat. Seterusnya gerakan koperasi berkembang di seluruh dunia seiring perkembangan pentadbiran Inggeris.

Di negara ini gerakan koperasi bermula secara rasmi pada tahun 1922 di bawah satu enakmen yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selepas itu gerakan koperasi terus berkembang pesat di negara ini. Hingga saat ini kira-kira 14,000 koperasi tumbuh bak cendawan di negara kita.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tenaga Nasional Berhad (KTNB), Marzuki Yasoa, sememangnya koperasi adalah entiti yang begitu penting pada masa ini yang mana ia menjadi pusat untuk ahli-ahli koperasi membuat pinjaman. Kini KTNB sendiri memberi bermacam-macam perkhidmatan kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh ahli-ahlinya.

Ahli-ahli KTNB bukan sahaja boleh membeli barangan elektrik, melancong dan menyewa di hotel milik koperasi malahan membeli emas untuk perhiasan mahupun pelaburan jangka panjang.

Marzuki berkata, segmen pelaburan emas mampu mencapai tujuh angka setahun hasil kerjasama dengan Muhaimin Jewels Gold and Gems Sdn.Bhd (Muhaimin Jewels).

Keinginan untuk membeli dan menyimpan emas adalah bukti golongan pekerja di negara ini terutama ahli KTNB semakin bijak dalam menguruskan wang untuk masa depan mereka dan keluarga mereka.

Jelas Marzuki lagi, KTNB bukan sekadar organisasi ekonomi yang hanya mementingkan kelompok tertentu tetapi merupakan entiti yang ingin melihat ahli-ahlinya mendapat manfaat yang menyeluruh.

Katanya, dalam situasi ekonomi negara dalam keadaan suram pihak KTNB mampu memberi dividen atas saham sebanyak 10 peratus kepada 23,054 ahli-ahlinya selepas koperasi itu mencapai keuntungan perniagaan yang menggalakkan tahun lalu.

Pemberian dividen tersebut diumumkan sendiri Pengerusi KTNB, Raja Hang Tuah Raja Iskandar dalam satu program di Melaka.

Selain dividen tersebut, bagi keuntungan ke atas yuran 6 peratus dividen turut diberikan.

Jelas Marzuki lagi, KTNB mampu mengagihkan dividen sebanyak itu hasil perolehan yang meningkat dari tahun ke tahun hasil perniagaan di dalam bidang insurans takaful, hotel dan hartanah.

Lebih membanggakan, bagi memastikan KTNB mampu menjana lebih keuntungan, koperasi tersebut akan mengadakan projek hartanah di lokasi yang masih belum dikenalpasti.

Bagaimanapun pihak KTNB masih belum memuktamadkan jenis projek hartanah yang akan dilaksanakan sama ada perumahan atau projek komersial.

Mengulas lanjut, kerjasama syarikatnya dengan syarikat Muhaimin Jewels, pihak KTNB bercadang melaksanakan pajak gadai Islam, Ar Rahnu.

Kerjasama dalam bidang tersebut dilakukan setelah usahasama dalam bidang perniagaan jual beli emas berjaya menghasilkan keuntungan yang meningkat dari tahun ke tahun.

Kesedaran untuk mewujudkan pajak gadai Islam timbul memandangkan lebih baik ahli KTNB menggadai kepada pihak koperasi bagi memastikan barang kemas yang digadai tidak mudah lebur begitu sahaja jika digadai di tempat lain.

Jelas Marzuki, pajak gadai Ar Rahnu dengan kerjasama Muhaimin Jewels dari segi kepakaran akan bermula pada bulan Oktober tahun ini setelah segala prasarana telah sempurna dilengkapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini