Kes lepaskan PATI: Hakim direman dua hari - Utusan Malaysia

Kes lepaskan PATI: Hakim direman dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor direman selama dua hari bermula hari ini, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Perintah reman itu bagi membantu siasatan berhubung kes suapan sejumlah wang untuk tujuan melepaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada tahanan pihak berkuasa.

Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan difahamkan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk direman di sana selepas mengalami masalah kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kosmo! Online semalam melaporkan SPRM menahan seorang hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru susulan penahanan seorang peguam, timbalan pendakwa raya (DPP) dan beberapa anggota polis untuk siasatan kerana melepaskan PATI daripada tahanan pihak berkuasa.

Menurut Latheefa, sejumlah wang juga telah dirampas ketika tangkapan dibuat, namun beliau tidak menyatakan jumlahnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu semalam membenarkan tempoh reman terhadap seorang peguam dan timbalan pendakwa raya dilanjutkan dua hari berakhir hari ini. 

Sebelum ini, seramai sembilan anggota polis antara 11 ditahan SPRM pada Rabu lalu selepas dipercayai terbabit kes rasuah dan rompakan membabitkan warga asing di Selangor.

Dalam operasi khas itu, SPRM merampas wang tunai RM100,000 dengan pecahan RM17,500 dirampas daripada peguam manakala RM82,500 dijumpai daripada DPP.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM kerana menerima rasuah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini