KUALA LUMPUR 13 Julai – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 2.4, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), menghala ke ibu negara, di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi itu, mangsa, B. Ragunath, 24, disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku selepas ketika Toyota Corolla Altis dipandu mangsa bersama tiga rakan wanita hilang kawalan sebelum merempuh tiang papan tanda dan pokok di bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, dua penumpang kereta itu, R Jessica Lemunai dan D Lily, masing-masing cedera di kepala serta badan dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala seorang lagi mangsa, C Rosita, cedera ringan.
“Mayat Ragunath dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zulkefly, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











