Kerajaan negeri P. Pinang sedia beri taklimat berhubung projek tambak laut - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri P. Pinang sedia beri taklimat berhubung projek tambak laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 12 Julai – Kerajaan negeri bersedia memberi taklimat dan penjelasan kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung projek tambak laut di selatan perairan negeri ini (PSR) yang didakwa akan menjejaskan kehidupan nelayan dan penduduk setempat.

Malah, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak projek itu dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fiskal Negara (MPFN), antara nasihat yang diberikan oleh MPFN adalah untuk menangani isu yang melibatkan golongan nelayan di kawasan berkenaan.

“Kalau perlu kerajaan negeri sudi beri taklimat kepada mana-mana pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Salah satu nasihat yang diberikan oleh MPFN ialah untuk menangani impak kepada nelayan termasuk pemberian pampasan yang sepatutnya kepada mereka, ini memang sebahagian daripada proses seperti mana projek-projek sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan akan meneliti memorandum bantahan dibuat persatuan nelayan dan penduduk setempat berhubung projek (PSR).

Dr. Mahathir berkata, Kerajaan Pusat juga akan mengambil tindakan sesuai jika dakwaan pihak berkenaan berasas.

Semalam, satu himpunan Menolak Projek PSR di Pulau Pinang diadakan di sekitar Tugu Negara, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Koordinator Forum Pulau Pinang, Khoo Salma Nasution.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri mengambil maklum tentang himpunan untuk membantah projek PSR yang diadakan di Parlimen oleh wakil nelayan dan juga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

“Kerajaan negeri mengulangi pendirian yang mana kebajikan nelayan tidak dipinggirkan apabila projek ini dilaksanakan, malah mereka masih boleh pergi ke laut seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, dalam mesyuarat tertutup yang diadakan antara kerajaan negeri dan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) pada 31 Mei lalu, PenMutiara telah mengemukakan cadangan tuntutan nelayan yang akan menerima impak daripada projek PSR.

“Antara tuntutan nelayan ialah mereka mahukan pampasan berupa bot nelayan moden dan juga pembelian rumah kos rendah menerusi skim sewa beli.

“Kita akan meneliti cadangan tuntutan ini menerusi rundingan dengan pihak terlibat dan kita juga akan merujuk kepada skim-skim sagu hati yang telah dibayar kepada nelayan sebelum ini sebagai rujukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini