Kenaikan tarif gas asli sebabkan purata kos tambahan RM188,000 - FMM - Utusan Malaysia

Kenaikan tarif gas asli sebabkan purata kos tambahan RM188,000 – FMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Julai – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan purata kos tambahan bagi setiap pelanggan industri sebanyak RM188,000 susulan kenaikan surcaj Kos Gas Untuk Dilepaskan (GCPT) RM1.74/MMBtu.

Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai

Presidennya, Datuk Soh Thian Lai berkata, unjuran itu berdasarkan bilangan pelanggan industri Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dan jumlah jualan pada 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, kenaikan 5.3 peratus tarif gas asli berkuatkuasa 15 Julai ini dibuat di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi yang mana ia menjadi kebimbangan utama kepada para pengeluar terutama kepada industri yang berintensifkan gas seperti besi dan keluli, sarung tangan getah, bahan kimia dan beberapa sektor bahan bukan logam

produk mineral seperti aluminium dan seramik.

“FMM secara berterusan mengharapkan pengumuman lebih awal dibuat untuk kadar semakan setiap enam bulan berbanding memberi notis yang singkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Thian Lai, FMM berpendapat bahawa GCPT boleh dikurangkan lagi bagi menyokong aktiviti pengeluaran berikutan jangkaan kelembapan pada separuh kedua tahun ini disebabkan permintaan perdagangan yang lemah.

Katanya, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Nikkei Malaysia terus berada dalam lingkungan negatif, terus susut kepada 47.8 pada Jun berbanding 48.8 pada Mei.

“Output terus dihadkan oleh keadaan permintaan yang mencabar terutamanya dari pasaran eksport,” jelasnya.

Sementara itu, Thian Lai berkata, FMM mahukan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan tentang mekanisme harga gas asli pada 2020, terma-terma dan syarat-syarat perjanjian bekalan gas dan kemasukan pembekal gas berlesen lain susulan liberalisasi pasaran gas dengan pelaksanaan sistem Akses Pihak Ketiga tahun depan.

“Industri menegaskan liberalisasi tidak semestinya pelanggan perlu terikat dengan kontrak dalam jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini