PUTRAJAYA 15 Julai – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kejadian penularan wabak malaria yang menyerang Orang Asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan wabak tersebut adalah jenis ringan dan tidak mengancam nyawa.
“Kita telah menjalankan pengesanan kes aktif terhadap 300 penduduk di pos berkenaan dan mendapati 11 orang dijangkiti wabak malaria Plasmodium Vivax.
Berita berkaitan:
“Namun wabak tersebut tidak membimbangkan kerana ia adalah jenis ringan dan tidak mengancam nyawa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Saintifik Persatuan Farmalogi dan Psikologi ke-33, di sini hari ini.
Sebuah portal hari ini melaporkan, sembilan Orang Asli di Pos Lenjang dirawat di hospital sejak semalam berikutan dijangkiti wabak berkenaan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly memaklumkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan kenyataan terkini mengenai perkara tersebut, hari ini. – UTUSAN ONLINE.











