ALOR SETAR – Kemampuan pemain Kedah mengatasi tekanan dan asakan lawan mendorong pasukan itu menewaskan Perak 4-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Pasukan Lang Merah berjaya menjaringkan gol pertama menerusi N. Thanabalan pada minit ke-39, Renan Da Silva Alves (m45) dan Fernando Rodrigues pada minit ke-88 serta waktu kecederaan babak kedua perlawanan.
Dua gol pelawat disumbangkan Shahrul Mohd. Saad pada minit ke-29 dan Ronaldo Henrique Silva, minit ke-78.
Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azmi Mohamed berkata, pemain Perak yang mempunyai kelebihan tersendiri cuba memberi tekanan kepada pemain Kedah apabila berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan, namun itu tidak mematahkan semangat anak buahnya.
“Sebelum perlawanan mula, kita telah tekankan kepada pemain bahawa ini adalah ‘Darul Aman’ jadi mereka tidak boleh kalah di tempat sendiri.
“Walaupun diberi tekanan fizikal dan mental oleh Perak sepanjang tempoh 90 minit, pemain dapat laksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Usaha itu berhasil apabila kita berjaya melakar kemenangan malam ini dan saya beri kredit kepada semua pemain yang bermain bersungguh-sungguh.
“Walaupun sebelum ini gol kita sering bolos pada minit terakhir perlawanan, kali ini kita pula berjaya boloskan gol lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu di sini.
Azmi berkata, walaupun ketiadaan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak yang kini sedang mengikuti kursus, segala perancangan untuk mematahkan langkah Perak untuk memperoleh mata telah dibincangkan secara bersama dan semua perkara termasuk pelaksanaan latihan dan perlawanan adalah mengikut arahannya.
“Semua perkara kita bincang bersama walaupun dia (Aidil Sharin) tidak ada di sini. Selepas bincang, kita akan sampaikan maklumat tersebut kepada pemain dan syukur pemain dapat laksanakan tanggungjawab dan arahan yang diberikan dengan baik sekali.
“Setiap kemenangan yang diperoleh adalah motivasi buat kita semua jadi saya harap sokongan padu daripada peminat, pihak pengurusan dan pemain itu sendiri dapat berterusan sehingga perlawanan akhir nanti,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil berkata, anak buahnya bermain dengan baik kerana banyak menguasai perlawanan dan melakukan serangan, namun tidak mampu memanfaatkan kelebihan yang ada untuk menjaringkan gol.
“Kita banyak pegang bola tetapi tidak berjaya jaringkan gol jadi, selepas ini kita akan baiki kelemahan yang ada dan beri yang terbaik untuk perlawanan akan datang.
Selain itu, mungkin juga berlaku sedikit kelalaian dalam kalangan pemain sehingga membolehkan Kedah menjaringkan dua gol pada akhir perlawanan,” katanya. – BERNAMA











