Kejar PATI sejauh 8.6 kilometer - Utusan Malaysia

Kejar PATI sejauh 8.6 kilometer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas selepas dikejar sejauh 8.6 kilometer (km) apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang lampu jalan di Persiaran Raja Muda Musa di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, suspek yang ditahan berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan suspek susulan selepas sebuah kereta peronda polis (MPV) mengesan sebuah kereta jenis Proton Satria yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kem Pelabuhan Klang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, anggota MPV itu kemudiannya mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkan sebelum lelaki itu bertindak agresif dengan memecut laju keretanya.

“Tindakan suspek itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal berusia 20an dilanggar di persimpangan lampu isyarat namun didapati penunggang itu hanya cedera ringan.

“Polis kemudiannya menahan suspek selepas mengejar sejauh 8.6 km apabila kereta dipandu suspek terbabas dan melanggar tiang lampu jalan sehingga patah di Persiaran Raja Muda Musa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemotong ayam itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

Ujar Shamsul Amar, kereta dinaiki suspek didapati milik isterinya itu juga tidak mempunyai cukai jalan.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini