Kecewa cinta ditolak, lelaki culik wanita - Utusan Malaysia

Kecewa cinta ditolak, lelaki culik wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 22 Julai – Kecewa kerana cinta tidak berbalas, seorang lelaki berusia 27 tahun bertindak menculik dan melarikan seorang wanita dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bertam, dekat sini malam tadi.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi ketika mangsa yang berumur 29 tahun baru selesai bekerja dan sedang berjalan menuju ke keretanya untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, sebaik sahaja memasuki kereta, suspek secara tiba-tiba muncul dan menolak mangsa ke tempat duduk penumpang sebelum melarikan mangsa menuju ke kawasan pasar awam di Tasek Gelugor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Video kejadian culik itu yang memaparkan sebuah kereta Proton Iriz dipandu laju turut tular dalam media sosial sejak malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, ketika kejadian, seorang lelaki yang berada berdekatan lokasi mendengar jeritan mangsa meminta tolong dan cuba mengejar kenderaan tersebut namun gagal kerana dipandu laju.

Katanya, bapa mangsa yang datang mencari anaknya itu pada pukul 11.30 malam selepas tidak pulang dari kerja dan gagal dihubungi turut dimaklumkan oleh rakan anaknya yang mana mangsa telah diculik seorang lelaki yang memakai baju kemeja.

Tambah beliau, ketika berada di pasar awam Tasek Gelugor, suspek turut mengikat kedua-dua belah tangan mangsa pada bahagian belakang sebelum membukanya semula 20 minit kemudian selain menguncinya di dalam kereta selama hampir satu jam.

Katanya, suspek kemudian menghubungi abangnya dan memaklumkan dia telah melarikan wanita berkenaan sebelum abangnya datang berjumpa mereka di pasar awam berkenaan.

“Ketiga-tiga mereka kemudiannya menaiki kereta jenis Proton Wira abang mangsa menuju ke Pantai Bersih, Butterworth dan berada di sana sehingga pukul 4 pagi.

“Difahamkan mangsa dipujuk supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis manakala suspek pula dipujuk menyerah diri sebelum abang mangsa membawa mereka ke Balai Polis Kepala Batas untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, siasatan awal mendapati bapa mangsa sebelum ini pernah membuat laporan polis terhadap suspek kerana mengganggu anaknya itu dan kes tersebut diselesaikan secara baik selepas suspek berjanji tidak akan mengganggu mangsa lagi.

“Suspek yang turut mempunyai rekod jenayah bersabit kes dadah kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini