KUALA TERENGGANU 13 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid kesal terhadap tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan solidariti Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan keputusan mahkamah berhubung hukuman dikenakan ke atas penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.
Sambil menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tersebut sebagai tidak wajar kerana cuba menngganggu institusi kehakiman negara, Mahdzir berkata, tindakan itu juga jelas sebagai satu penghinaan kepada sultan.
“Kita kecewa kerana Anwar dan solidariti pemuda PH itu mewakili parti kerajaan dan tindakan mempertikaikan keputusan mahkamah terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Wan Ji, seolah-olah ingin mencabar keputusan institusi kehakiman negara.
“Tindakan seperti ini sangat tidak wajar kerana dia (Anwar) seolah-olah cuba mempengaruhi undang-undang sekali gus satu penghinaan kepada sultan Selangor”, katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku; Ketua Pergerakan Wanita bahagian itu, Toh Puan Zaitun Mat Amin dan Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Zul Fadli Rozi.
Menurut Mahdzir, sebagai seorang presiden parti mewakili kerajaan, Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan ingin berjumpa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas penceramah bebas itu yang juga merupakan Pegawai Khas Lim Guan Eng kerana didapati menghina Sultan Selangor.
“Selepas kenyataan Anwar, semalam tiba-tiba pelaksanaan hukuman penjara setahun terhadap Wan Ji ditangguhkan pula selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
“Seolah-olah ada sesuatu tidak kena terhadap perkara ini, setiap kali mengaitkan DAP undang-undang seperti dipermainkan, begitu juga dengan isu seorang Exco Perak yang dikaitkan merogol seorang amah warga Indonesia yang sedang hangat diperkatakan sekarang, inilah yang dikatakan DAP semakin berkuasa dalam pemerintahan negara sekarang ini,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE











