KUALA LUMPUR – Seorang jururawat mengalami kerugian sebanyak RM1,550 setelah diperdaya sindiket penipuan bungkusan yang didalangi oleh warga Nigeria di Wangsa Maju, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, polis menahan dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan di sebuah kondominium di Cheras, Selasa lalu pada pukul 12.15 tengah malam.
“Tangkapan ke atas suspek dipercayai dalang sindiket ini hasil daripada laporan mangsa yang terpedaya selepas kerugian wang sebanyak RM1,550.
“Mangsa yang berusia 22 tahun berkenalan dengan suspek yang menyamar sebagai seorang doktor warga Britain dua minggu lalu melalui laman sosial Facebook,” katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah Rajab, mangsa berkongsi maklumat peribadi kepada suspek dan kemudian sindiket berkenaan menghantar hadiah sebagai tanda persahabatan.
“Pada Isnin lalu, wanita terbabit menerima panggilan telefon daripada seorang individu kononnya dari syarikat perkhidmatan penghantaran kerana terdapat barangan yang dikirim atas nama mangsa.
“Suspek kemudian meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang sebagai cas penghantaran dan wanita itu berbuat demikian tanpa berasa curiga,” katanya
Menurut beliau, mangsa mula berasa curiga setelah tidak menerima sebarang bungkusan dan menyemak semula akaun Facebook tersebut dan mendapati ia sudah ditutup.
“Setelah mangsa membuat laporan polis, pihak berkuasa menyerbu kondominium itu dan menahan kesemua suspek yang dipercayai dalang sindiket tersebut.
“Polis berjaya merampas telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), sebuah komputer riba dan sekeping sim kad,” ujarnya.
Tambah Rajab, kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE











