JAKARTA 9 Julai – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menegur empat menteri semasa mengadakan satu mesyuarat Kabinet, yang pertama selepas pemilihan umum (Pemilu) 2019 tamat, semalam.
Menteri yang ditegur Jokowi ialah Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Rini M Soemarno; Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia (ESDM), Ignasius Jonan; Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan (LHK), Siti Nurbaya dan Menteri Agraria dan Tata Ruang (AGR), Sofyan Djalil.
Lapor Tribun News yang memetik kenyataan Biro Akhbar Istana Presiden, Jokowi meminta kesemua menterinya supaya meneliti data terbaharu yang dikeluarkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS).
Data BPS menunjukkan nilai eksport dan import Indonesia dilaporkan mengalami penurunan dengan eksport dari Januari hingga Mei tahun ini menurun sebanyak 8.6 peratus ketika import bagi tempoh sama menurun 9.2 peratus.
Ekoran itu, nilai dagangan Indonesia sehingga Mei tahun ini mengalami defisit sebesar AS$2.14 bilion (RM8.9 bilion).
Jokowi meminta Rini untuk memberi perhatian lebih kepada nilai import yang sangat tinggi berhubung pembelian minyak dan gas.
“Menteri BUMN yang berkaitan dengan perkara ini, kerana nilainya yang paling banyak ada di situ (import minyak dan gas),” kata Jokowi.
Ketika ditemui media, Rini mengaku dan tidak bermasalah dengan teguran Presiden dan bersedia untuk bekerja lebih keras sehingga tidak mengecewakan Jokowi. – AGENSI











