MADINAH 8 Julai – Jemaah haji Malaysia dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah dalam perjuangan Rasulullah dan sahabat mengembangkan agama Islam di sekitar Madinah, termasuk di kawasan Bukit Uhud.
Bukit Uhud yang merupakan kawasan berlakunya Perang Uhud antara umat Islam dan kaum Quraish pada tahun 3 Hijrah merupakan tempat di mana gugurnya SInga Allah ketika tu, Saidina Hamzah dan 70 shuhada.
Bagi jemaah Malaysia yang ditemui ketika menziarahi perkuburan shuhada di kawasan tersebut, pengalaman dapat sendiri berada di kaasan sejarah perjuangan Rasulullah dan sahabat di Bukit Uhud mampu memberi kesan yang mendalam kepada jiwa mereka.
Norlaila Abidan@Jaidan berkata, banyak pelajaran boleh diambil dari kisah perjuangan umat Islam dalam Perang Uhud yang mana ramai tentera Islam shahid dalam mengembangkan agama Islam.
Dalam Perang Uhud, tentera Islam pada awalnya telah memenangi perang tersebut sehingga menyebabkan tentera kafir Quraisjh terpaksa berundur kerana kebijaksanaan strategi perang Rasulullah.
Bagaimanapun, atas kelekaan dan kegagalan kumpulan pemanah yang berada di atas salah satu bukit mematuhi arahan Rasulullah agar jangan meninggalkan kawasan tersebut menyebabkan tentera Quraish berjaya melakukan serangan balas.

Ziarah ke Bukit Uhud merupakan sebahagian daripada program ziarah yang diaturkan Tabung Haji untuk jemaah Malaysia yang berada di Madinah, selain dibawa melawat Masjid Quba, Masjid Qibalatain dan Masjid Tujuh.
Bagi Ruslan Aziz, dia masih tidak percaya berada di kota suci ketika ini dan berpeluang menziarahi kawasan-kawasan sejarah berkaitan perjuangan Rasulullah dan sahabat di sekitar kota Madinah.
“Rasa macam tidak percaya, betul ke saya kini berada di tanah suci kerana inilah impian yang telah dinanti-nanti sejak sekian lama,” tambah.
Katanya, apa sahaja pelajaran dan pengetahuan yang diperoleh ketika berada di tanah suci perlu dilaksanakan apabila kembali ke tanah air kelak apabila telah berjaya melaksanakan ibadat haji.
Menurut Mohd. Sahifudin Ahmad yang merupakan pembimbing ziarah luar, banyak pengajaran boleh diambil dari sejarah Perang Uhud kerana Nabi Muhammad sendiri mengalami kecederaan teruk ketika itu sehinggakan ada sahabat menanggap baginda telah wafat.

Katanya, perang yang terbahagi kepada tiga fasa itu iaitu fasa pertama umat Islam menang, fasa kedua ditewaskan dan ketiganya fasa apabila tentera Islam kemudiannya mengejar tentera Quraish yang tidak dapat memasuki kota Madinah.
Bagaimanapun, pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Madinah itu berkata, jemaah Malaysia tidak perlu melakukan perkara-perkara khurafat ketika mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti mengambil batu, tanah dan sebagainya untuk dibawa pulang. – UTUSAN ONLINE











