JOHOR BAHRU 5 Julai – Menteri Industri Utama, Teresa Kok diingatkan untuk tidak menjadikan kanak-kanak sekolah sebagai mangsa politik atas kegagalannya meyakinkan masyarakat dunia tentang mutu, khasiat dan kepentingan kelapa sawit.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu ekoran tindakan Teresa yang menyelar sebuah sekolah antarabangsa kerana persembahan para pelajarnya dianggap menyebarkan propaganda anti penggunaan kelapa sawit.
“Pada hari berikutnya, keluar pula kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan yang berkata siasatan dan tindakan akan diambil terhadap sekolah terbabit.
“Saya menyelar pemikiran sempit dan terkebelakang sebegini. Adalah tidak matang dan tidak wajar untuk memberikan mereka dengan label yang tidak sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung tindakan Teresa menyelar persembahan kanak-kanak sebuah sekolah antarabangsa sebagai menyebarkan propaganda bertentangan dengan kepentingan nasional membabitkan tanaman sawit.
Tambah Mohamed Khaled, kanak-kanak memiliki pelbagai persoalan dalam pemikiran mereka dan menjadi tugas pemimpin masyarakat untuk membimbing mereka sepanjang proses pembelajaran. – UTUSAN ONLINE











