KUALA LUMPUR 11 Julai – Pengenalan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) diyakini mampu membawa bidang keusahawanan ke tahap tertinggi sekali gus menjadikan pemain industri lebih maju.
Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman malah berpendapat, DKN 2030 boleh menjadi platform kebangkitan usahawan muda untuk berdaya saing dan bukan sekadar menjadi ‘jaguh kampung’.
Jelas beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, keprihatinan kerajaan menyediakan platform terbaik kepada usahawan juga seharusnya digunakan dengan sebaiknya untuk mencapai kejayaan.
Menurutnya, kerajaan telah memberi banyak penekanan di bawah DKN 2030 dan perkara berkenaan perlu menjadi wadah perjuangan kepada usahawan terutama golongan muda untuk meneroka peluang baharu.
“Saya percaya golongan muda sekarang ini teruja untuk menjadi usahawan tetapi mereka perlu dibimbing menerusi platform yang betul. Mari cari Kementerian Pembangunan Usahawan dan minta pendapat.
“Jangan mengharapkan geran atau pinjaman sahaja. Kena ada semangat untuk memulakan perniagaan walaupun anda hanya ada modal air liur dan tenaga sahaja. Jadikan pelbagai cabaran yang ditempuh itu sebagai kekuatan dalam bidang keusahawanan untuk lebih berjaya,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran DKN 2030 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini. – UTUSAN ONLINE











