Jakoa rancang baik pulih rumah Orang Asli di Kampung Kuala Koh - Utusan Malaysia

Jakoa rancang baik pulih rumah Orang Asli di Kampung Kuala Koh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 9 Julai – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bercadang membaik pulih 16 rumah Program Bantuan Rumah (PBR) Orang Asli suku Batek yang rosak di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini.

Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, kerja membaik pulih rumah itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini disamping membina kemudahan asas lain.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada peruntukan dan permohonannya yang akan dihantar ke ibu pejabat Jakoa terlebih dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mengakui memang terdapat sebahagian besar rumah PBR Orang Asli suku kaum Bateq kampung itu mengalami kerosakan dan wajar dibaik pulih.

“Selain itu terdapat juga lima rumah kayu dan 12 rumah buluh dibina sendiri penduduk juga perlu diambil perhatian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, pihaknya juga merancang untuk membangunkan bidang ekonomi termasuk tanaman kontan dan ternakan untuk pendapatan Orang Asli di kampung terbabit.

Katanya, perkara itu perlu diuruskan secara lebih tersusun sebelum dilaksanakan bagi mengelak daripada kegagalan mendapat hasil.

“Kita akan menumpukan program gotong-royong membersihkan rumah dan Kampung Kuala Koh dahulu yang akan diadakan pada 18 Julai ini.

“Ketika ini sebahagian besar penduduk masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Etnobotani dan mereka belum mendapat kebenaran daripada Jabatan Kesihatan untuk pulang semula ke kampung,” katanya.

Bermula semalam, kawasan perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini telah diisytihar bebas daripada zon merah.

Jabatan Kesihatan mengesahkan Kampung Kuala Koh sudah diisytiharkan selamat daripada jangkitan penyakit demam campak selepas berada dalam zon merah selama 26 hari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini