Jadi atau tidak PM, itu ketentuan Allah SWT - Utusan Malaysia

Jadi atau tidak PM, itu ketentuan Allah SWT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 13 Julai – Semua sedia maklum mengenai persefahaman bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan, namun sama ada perkara tersebut akan berlaku atau sebaliknya, adalah ketentuan Allah SWT.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, tiada masalah selagi Dr. Mahathir mahu melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

Kata Menteri Pembangunan Usahawan, semua pihak perlu memberi sokongan penuh selagi Dr. Mahathir menjalankan amanah dan tugasnya dengan baik dalam usaha memulihkan semula negara yang sememangnya memerlukan lebih masa bukan sekadar satu atau dua tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau (Dr. Mahathir) bekerja kuat untuk memastikan Malaysia kembali kepada kegemilangan dan dihormati oleh dunia. Jadi, tidak timbul isu bila dlbeliau hendak turun atau siapa patut sambung pada tarikh bila-bila.

“Walaupun ada persefahaman yang kita dengar hari ini bahawa jawatan Perdana Menteri akan digalas oleh Anwar, namun sama ada perkara itu akan berlaku atau tidak, ia ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Didik Rakyat 2019 di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa tiada garis masa tertentu berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

Isu peralihan jawatan Perdana Menteri tidak pernah sunyi sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan komponen gabungan parti itu khususnya Bersatu dan PKR.

Beberapa kali wujud desakan dalam kalangan kepemimpinan PKR yang menuntut Dr. Mahathir menetapkan tarikh spesifik peralihan jawatan itu kepada Presiden mereka iaitu Anwar.

Isu tersebut kembali panas apabila Mukhriz dalam wawancara bersama Nikkei Asia Review menyatakan tiada garis masa tertentu yang dipersetujui berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar walaupun sering diuar-uarkan bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dalam tempoh dua tahun, sebelum kemudian menjadi tiga tahun.

Tambah Mohd. Redzuan, sebarang bentuk perancangan masa depan dan sebagai Perdana Menteri, terpulang kepada Dr. Mahathir bila beliau bersedia menyerahkan jawatan tersebut kepada orang lain.

“Kita hendak membangunkan semula negara dan banyak kerja kena buat. Saya rasa Dr. Mahathir akan mengambil masa yang lebih lama untuk memastikan asas negara ini kembali kukuh sebelum siapa-siapa menyambung tugas beliau (membangunkan negara),” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini