TEHERAN 11 Julai – Iran berdepan ‘keganasan ekonomi’ yang teruk daripada Amerika Syarikat (AS) akibat pelaksanaan semula sekatan ke atas negara ini, kata seorang pegawai Teheran.
Menurut laporan al-Jazeera, Duta Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Kazem Gharib Abadi membuat kenyataan tersebut di Vienna dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan oleh AS selepas Teheran melanggar perjanjian nuklear 2015 baru-baru ini.
“AS melaksanakan keganasan ekonomi terhadap beberapa negara, termasuk melalui sekatan dan ‘campur tangan’ kuasa.
“Tindakan AS menggunakan sekatan yang bersifat sebelah pihak dan tidak sah sebagai instrumen untuk memaksa negara-negara berdaulat dan entiti swasta harus berakhir,” katanya dalam mesyuarat tersebut.
IAEA mengesahkan Iran sudah menghasilkan uranium melebihi paras yang sepatutnya di bawah perjanjian nuklear yang dipersetujui sebelum ini, dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
Teheran menegaskan tidak akan mengikut beberapa peraturan di bawah JCPOA selagi pihak lain terlibat dalam perjanjian itu, khususnya United Kingdom, Perancis dan Jerman enggan berusaha untuk mengurangkan kesan sekatan AS.
Kazem Gharib menyifatkan ancaman semasa itu hasil tindakan jahat Washington.
Dalam pada itu, Duta AS ke IAEA, Jackie Wolcott memaklumkan, Iran terlibat dalam ‘pemerasan nuklear’.
“Tiada cara lain untuk menyelesaikan perkara ini selain memaksa tindakan daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.











