BERIKUTAN kegawatan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan ramai pasangan merancang untuk menghadkan anak.
Ini ekoran rasa bimbang terhadap kemampuan untuk menampung hidup dan membesarkan anak serta keluarga dengan baik.
Ada yang mengambil pencegahan, sama ada mengawal secara semula jadi, memakan pil perancang atau memasukkan implan di bawah lengan sebagai alat pencegah kehamilan.

Malah, ada juga wanita yang nekad untuk mengikat saluran peranakan kerana bimbang ‘terbabas’ dan dikhuatiri mengundang masalah lain sehingga menjadi punca ketegangan dalam keluarga.
Pendakwah terkemuka tanah air, Azhar Idrus dalam laman Facebooknya berkongsi bahawa, perbuatan mengikat saluran peranakan yang mengakibatkan peranakan terhenti secara berkekalan adalah haram di sisi syarak.
Ini kerana jelasnya, tindakan demikian bakal mengurangkan jumlah manusia yang membawa kepada tidak mempunyai keturunan, sedangkan berketurunan itu adalah satu daripada lima perkara yang mesti dipelihara.
Namun, sekiranya akibat darurat seperti dibimbangkan membawa ancaman kepada nyawa isteri jika hamil pada masa hadapan atau atas nasihat doktor, maka perbuatan mengikat peranakan itu diharuskan.











